Pemilik "KAD KEBAL" serah diri.


JOHOR BAHRU – Seramai 27 pendatang asing yang menjadi mangsa penipuan kad eksklusif atau lebih dikenali sebagai ‘kad kebal’ tampil membuat laporan di Jabatan Imigresen negeri di sini semalam.

Kebanyakan mereka yang merupakan warga Indonesia membuat laporan tersebut selepas pendedahan mengenai kegiatan sindiket tersebut dilaporkan media baru-baru ini.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, mereka rata-rata tidak mengetahui kad tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana jabatan kerajaan di negara ini.

“Kita telah mengambil keterangan daripada kesemua pendatang asing ini dan ia akan dijadikan bukti untuk mendakwa suspek di mahkamah nanti.

“Setakat ini, wanita berusia 50-an yang juga pemilik syarikat yang diserbu baru-baru ini masih ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Setia Tropika dekat sini semalam.

Kosmo! Ahad lalu melaporkan penahanan seorang wanita berusia 50-an yang merupakan pemilik sebuah syarikat di Bangunan Profesional, Jalan Syed Mufti di sini pada Jumaat lalu.

Pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan menjalankan proses pendaftaran pekerja asing melalui program 6P secara sah tetapi pada masa sama mengeksploitasi warga asing dengan menawarkan keahlian ‘kad kebal’ pada harga di antara RM1,000 hingga RM3,000.

Pendatang asing yang memiliki kad berkenaan dikatakan kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.

Tiada ulasan: