Air Asia vs Mas - catitan kunta kinte

Kunta Kinte: Bila lawan jadi kawan




2011/08/12

MINGGU ini Kunta Kinte nak bincang sikit hal MAS dan AirAsia bertukar-tukar saham. Tentulah ramai yang tahu sikit sebanyak cerita MAS dan AirAsia terkejut dengan urus niaga itu pasal dua syarikat penerbangan itu berlumba-lumba antara satu sama lain.

Tapi inilah perniagaan. Musuh boleh jadi kawan, kawan boleh jadi lawan. Yang penting adalah keuntungan atau paling-paling koman pun elak muflis.
Kunta Kinte tak kata MAS dah muflis atau dekat-dekat nak muflis, tapi dalam masa sembilan tahun sejak 2002, MAS hanya untung empat kali saja. Tahun lepas, MAS rugi RM237 juta. Pada suku pertama tahun ini saja, MAS dah rugi RM242.3 juta.




Tapi yang jelas ialah segala usaha hendak pulihkan MAS tak berjaya sampai kena jual semua harta benda, termasuk kapal terbang dan bangunan. Itu pun tak untung juga.

Kesudahannya, mahu tak mahu, kenalah telan malu terima lawan jadi kawan. Jadi, pada 9 Ogos lalu, MAS bertukar-tukar saham dengan AirAsia.

Sebab saham AirAsia di Bursa Malaysia mahal dan saham MAS murah, maka AirAsia, melalui induknya, Tune Air dapat 20.5 peratus saham MAS dan Khazanah, syarikat induk MAS, dapat 10 peratus saja saham AirAsia. Satu saham AirAsia boleh tukar dengan dua saham MAS.




Seminggu lalu, harga saham AirAsia RM3.95 seunit, manakala saham MAS RM1.60 seunit. Nilai saham AirAsia di Bursa Malaysia dekat RM11 bilion berbanding dengan MAS sebanyak RM5 bilion. Tapi Khazanah Nasional Berhad masih pegang 49 peratus saham MAS.
Kunta Kinte nak kena sebut juga iaitu tak macam bila Bank Negara jual MAS kepada Tan Sri Tajuddin Ramli pada 1994, dia kena bayar harga premium supaya Bank Negara tak rugi. Bila krisis kewangan Asia 1997/98 berlalu, susahlah dia nak bayar hutang dan kerajaan pun ambil balik MAS.

Dalam urusan pertukaran saham MAS-AirAsia ni, nilai nampaknya dikira ikut harga pasaran semasa dan mereka tukar saham, jadi tak adalah duit yang nak dibayar. Kalau Khazanah sesak sangat atau tak mahu lagi berniaga dalam bidang penerbangan, ia bolehlah jual saham AirAsia.

Tan Sri Tony Fernandez dan Datuk Kamaruddin Meranun pula boleh jual saham MAS. Tapi rasa-rasanya, mereka tak akan jual pasal mereka nak tunjuk yang mereka boleh ubah MAS daripada syarikat yang lemah kepada yang kuat. Tapi Khazanah belum tentu. Kalau sesak mungkin ia jual.

Lagipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal ekonomi, Datuk Idris Jala, dah kata Khazanah akan kurangkan pegangan atau jual langsung saham dalam 30 lebih syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Silap-silap hari, habislah peluang Bumiputera bekerja dan urus syarikat swasta. Jadi menteri-menteri Bumiputera tu tengok-tengoklah juga apa yang Idris cadangkan.

Dalam mana-mana urusan perniagaan pun ada kesan dan akibat. Jadi akibat penstrukturan saham itu, Pengarah Urusan MAS, Tengku Azmil Zahruddin, kena letak jawatan dan Fernandez, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, dengan rakan kongsi dia, Kamaruddin masuk jadi ahli lembaga pengarah MAS.

Kunta Kinte tahu ramai yang tak suka Khazanah jual saham MAS kepada AirAsia. Kalau ada jalan lain, Kunta Kinte pun rasa macam itu juga. Tapi nampaknya tak ada. MAS dalam kesusahan dan AirAsia ada pengalaman urus perniagaan dengan berjaya.

AirAsia ada anak syarikat di banyak negara, termasuk negeri Thai, Indonesia dan Vietnam. Baru-baru ini, AirAsia tandatangan perjanjian dengan syarikat penerbangan Jepun, All Nippon Airways (ANA), bagi tubuh syarikat penerbangan tambang murah di negara matahari naik itu. Kalau Jepun pun dah akui kebolehan AirAsia, susahlah kita nak kata AirAsia tak boleh pakat dengan MAS.

Satu lagi yang Kunta Kinte kena sebut, fasal hal ini benar, ialah AirAsia bagi peluang kepada banyak pegawai Melayu pegang jawatan tinggi. Selain Kamaruddin, ada Datuk Abdul Aziz Abu Bakar yang jadi Pengerusi AirAsia dan Azran Osman-Rani, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, iaitu syarikat penerbangan jauh AirAsia.

Bukan Melayu tak boleh buat kerja atau tak ada Melayu yang bagus, cuma kadang-kadang banyak sangat campur tangan politik sampai kerja tak jadi.

Kunta Kinte tengok syarikat-syarikat milik usahawan India Malaysia di Bursa Malaysia tak ada masalah bagi jawatan tinggi kepada eksekutif Melayu yang layak dan mampu, tak macam syarikat kaum-kaum bukan Bumiputera lain yang ambil Melayu hanya untuk jadi pengarah hiasan, kerani, pemandu, penghantar surat, pengawal keselamatan dan pengawal peribadi.




Salah seorang ahli lembaga pengarah baru MAS adalah Datuk Rohana Rozhan, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings. Astro pun syarikat yang dikawal usahawan India juga, iaitu T Ananda Krishnan.

Jadi, kita bagilah peluang kepada Fernandez dan Kamaruddin bantu pulihkan MAS. Lagipun, Khazanah masih jadi pemegang saham paling besar dalam MAS. Kunta Kinte yakin eksekutif MAS yang bagus, tak kira bangsa, akan terus ada tempat dalam syarikat itu.

Kita kena mengaku, walaupun pengurusan MAS pada masa lalu tidak cekap, tapi ada ramai eksekutif, juruterbang, anak kapal, jurutera dan mekanik MAS yang kelas dunia.

Walaupun banyak kapal terbang MAS dah berumur, ada yang dah dekat 30 tahun, tapi rekod keselamatan dan ketepatan masa MAS adalah antara yang terbaik di dunia. Juruterbang, jurutera dan anak kapal MAS dicuri oleh syarikat penerbangan lain pasal mereka tekun dan cekap. Banyak juruterbang, jurutera dan anak kapal AirAsia sendiri dulunya bekerja dengan MAS.

Jadi, janganlah kita hukum mereka kerana kelemahan, kesilapan dan penyelewengan pengurusan MAS pada masa lalu. Kunta Kinte yakin mereka sedia bagi kerjasama dan dedikasi kepada pengurusan baru MAS, Insya-Allah.

Tiada ulasan: