Cabaran Berdepan Dengan Mayat.



BERDEPAN dengan mayat setiap hari bukan satu perkara yang mudah apatah lagi bukan semua individu mampu berteman dengan orang mati dalam tugasan harian.

Namun, kerja-kerja pengurusan mayat sudah lali ditempuh oleh seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), Roesmal Azwan Abd. Malik, 33, yang hampir setahun berkhidmat dengan Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Rutin harian Roesmal bukan hanya memindahkan mayat dari wad ke bilik mayat sahaja tetapi sebagai PPK, lelaki yang berasal dari Kelantan itu juga membantu doktor dan pegawai perubatan melakukan bedah siasat.

Kerja-kerja bedah siasat seringkali divisualkan sebagai berbahaya dan memerlukan ketelitian, apatah lagi jasad yang dibedah siasat itu kebanyakannya berada dalam keadaan menyedihkan.

"Forensik HKL banyak menguruskan kes-kes kematian melibatkan perundangan (medico legal) seperti jenayah ataupun kemalangan.

"Jadi membedah siasat mayat yang tidak lengkap anggota badan, fizikal hancur dan sebagainya sudah sebati dalam tugasan kami," jelasnya yang memberitahu sekurang-kurangnya tujuh mayat perlu dibedah siasat setiap hari.



Mayat akibat nahas jalan raya seringkali berada dalam keadaan fizikal yang meruntun jiwa sehingga ada yang tidak menyerupai bentuk manusia langsung.

Menyedari kesukaran berdepan dengan waris mangsa yang menuntut mayat tersebut, forensik HKL mengambil langkah proaktif dengan menyempurnakan mayat itu.

Anggota-anggota tubuh yang tercerai akan dijahit sebaik mungkin bagi mengelakkan penderaan emosi terlampau dalam kalangan waris si mati.

Momen paling diingati Roesmal adalah saat menjalankan autopsi ke atas mayat yang telah lama disimpan kerana bau busuk mayat tersebut ternyata menganggu konsentrasi kerjanya.

"Bau mayat tersebut memang tidak dapat ditahan dan saya rasa boleh membuatkan orang muntah walaupun memakai topeng mulut.

"Bayangkan selama dua jam bedah siasat dijalankan, saya cuba menghilangkan rasa tidak selesa itu tetapi lama-kelamaan bau tersebut hilang begitu sahaja," ujarnya.

Momokan kisah mistik

Logik di sebalik kisah spiritual pula dirasakan tidak boleh boleh diguna pakai memandangkan tiada gangguan melampau diterima oleh pekerja-pekerja rumah mayat tersebut.

"Gangguan makhluk halus ada di mana-mana, jadi tidak wajar orang menganggap rumah mayat penuh dengan kisah-kisah mistik.

"Persepsi orang ramai terhadap pekerja rumah mayat juga sebenarnya meleset kerana wajah-wajah kami tidaklah pucat seperti mayat seperti diperkatakan ramai orang.

"Setakat ini kesemua petugas di sini tidak berdepan masalah besar dengan mayat tetapi selalunya masalah melibatkan waris si mati," jelasnya.

Bercerita tentang jenis-jenis mayat di forensik HKL, Penolong Pegawai Perubatan jabatan tersebut, Zainorden Tamat, 41, menjelaskan mayat-mayat diterima mereka terdiri daripada medico legal dan mayat biasa.




Menurut Zainorden, jenazah medico legal dibahagikan kepada dua kategori iaitu membabitkan jenayah seperti bunuh dan bukan jenayah seperti kemalangan, kebakaran dan lain-lain.

"Kita juga mengendalikan mayat-mayat pesakit yang mati di wad iaitu selepas satu jam dari waktu kematian, mayat akan dibawa PPK ke bilik mayat.

"Waris akan dihubungi dan mayat tersebut akan dituntut selepas proses pengecaman dijalankan.

"Bagi mayat yang tidak berwaris, kita akan tunggu sehingga tiga hari bagi mereka beragama Islam dan 14 hari bagi agama lain sebelum ia diuruskan pihak kami," ujar Zainorden yang berkhidmat di HKL selama 16 tahun.

Mayat Islam yang tidak dituntut itu akan diserahkan kepada pejabat khas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di HKL bagi menguruskan kes-kes tersebut.

Mayat Medico Legal

Si mati yang diuruskan tidak hanya sendirian tanpa waris, malah ada juga yang tidak diketahui identiti menyebabkan pengkebumian mereka dilakukan di kawasan lapang seperti di tanah perkuburan Jalan Karak.

Begitu juga dengan mayat agama lain. Selepas usaha mengesan waris menemui kegagalan, mayat tersebut akan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum dibakar di tempat pembakaran di Cheras.

Menyelak kes-kes medico legal, Zainorden merungkaikan bahawa majoriti mayat membabitkan urusan polis dan urusan mahkamah perlu menjalani proses bedah siasat.

Rasional bedah siasat dijalankan bertujuan mencari punca kematian si mati sama ada melibatkan jenayah atau sebaliknya, tetapi ia hanya dijalankan jika surat arahan daripada pihak polis dikeluarkan.

"Jabatan kami akan menjalankan bedah siasat mengikut kalendar mahkamah bagi kes-kes jenayah seperti pembunuhan.

"Disebabkan kematian individu tersebut melibatkan perundangan, maka mayatnya terpaksa disimpan sehingga surat kebenaran untuk melupuskan mayat dikeluarkan," ujar Zainorden lagi

Pihaknya juga pernah menyimpan mayat membabitkan kes medico legal selama enam bulan.

Suhu peti ais menyimpan mayat adalah di antara 2 darjah Celcius hingga 8 darjah Celsius tanpa menggunakan bahan pengawet.

Menurut Zainorden, mengawet mayat di HKL bagi mengekalkan ciri-ciri fizikal mayat adalah ditegah dan mereka tidak mampu untuk menyekat proses pereputan sekiranya mayat disimpan terlalu lama.

Kematian ahli keluarga merupakan detik paling tidak ingin dihadapi oleh semua orang, namun ia adalah ketentuan yang tidak dapat dielakkan.

Petugas bilik mayat jabatan itu tidak hanya berhadapan cabaran autopsi dan pengurusan mayat, malah turut diduga dengan reaksi waris si mati.

Seorang lagi Penolong Pegawai Perubatan HKL, Zaidun Che Mat, 47, menyatakan, berdepan dengan keluarga si mati antara situasi paling sukar memandangkan kes-kes kematian medico legal adalah mengejut dan keadaan mayat yang tidak sempurna.

"Tidak semua autopsi dapat melengkapkan semula fizikal mayat kerana ada jasad yang memang langsung tidak dapat diselamatkan.

"Waris yang melihat si mati yang dalam keadaan menyayat hati sukar menerima kenyataan dan menyebabkan mereka meraung hingga pihak kami terpaksa menenangkan keadaan.

"Sehubungan itu, kami menyediakan bilik khusus yang dipanggil Bilik Menangis untuk waris mangsa bertenang sehingga mereka berkeupayaan meneruskan proses tuntutan mayat," ceritanya yang telah 13 tahun menyaksikan pelbagai situasi menyedihkan.



Tiada ulasan: