Penyokong bola sepak laku provokasi didenda RM100

KUALA TERENGGANU – Gara-gara bertindak di luar kawalan, seorang penyokong bola sepak didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana menimbulkan provokasi pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Kelantan Isnin lalu. Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Fakri Makhtar, 21, (gambar) mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil. Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Seberang Takir di sini didapati telah membaling ketulan-ketulan ais batu ke arah penyokong pasukan Kelantan dan telah mengenai anggota polis yang sedang bertugas ketika itu. Kesalahan tersebut dilakukan di tempat duduk Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini kira-kira pukul 11.30 malam pada 10 Oktober lalu. Kes tersebut dikendalikan Pengawai Pendakwa, Inspektor V. Ravi. Nor Azizah ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, tertuduh sebenarnya bernasib baik kerana hanya didakwa di bawah Akta Kesalahan Kecil yang hanya membawa hukuman denda RM100. “Janganlah menjadi penyokong yang fanatik kerana ia hanya akan mencetuskan masalah kepada orang ramai. Saya sendiri tidak faham mengapa tertuduh boleh membaling objek kepada penyokong lawan,” katanya. Sementara itu, Muhammad Fakri ketika ditanya Majistret mengenai tindakannya itu hanya mampu tersenyum sebelum menjawab ‘saya tidak tahu’. Dalam kejadian Isnin lalu, polis telah menahan seorang pemuda yang didapati telah mencetuskan provokasi sehingga hampir menimbulkan pergaduhan di antara kedua-dua pasukan. Oleh MUSTAPA LAKAWA mustapa.lakawa@kosmo.com.my

Tiada ulasan: