Cerita Anak Gajah

Assalamualaikum,

Moga kalian semua sentiasa sihat dan bermotivasi selalu.

Untuk post kali ini, saya ingin berkongsi satu cerita dengan para pembaca semua tentang ketabahan itu rahsia utama kejayaan.

Anda pasti pernah melawati taman haiwan atau lebih dikenali sebagai Zoo. Semangnya di sana terdapat pelbagai spesis haiwan dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya dan di antara haiwan yang sering menjadi tarikan utama adalah Gajah. Apa yang dapat anda perhatikan pada kaki gajah tersebut? Ya! dirantai dengan rantai besi. Pastinya ramai yang merasakan kasihan namun mengapa gajah itu terbelenggu walaupun pada hakikatnya ia mampu memutuskan rantai tersebut?

Kisahnya bermula ketika gajah itu masih kecil lagi. Ketika masih kecil, ia telah dirantai kakiknya. Rantai itu menghadkan pergerakkan anak gajah itu. Anak gajah itu cuba menarik rantai besi tersebut, namun setiap kali dicuba pastinya mendatangkan kesakitan. Ditarik tentu sakit. Itulah pemikiran yang terbentuk di minda anak gajah tersebut sepanjang proses tumbesarannya. Hinggalah mencapai usia dewasa, pemikiran tersebut masih bertungjang di fikirannya. Akhirnya, anak gajah tersebut itu terus dibelenggu oleh rantai tersebut sepanjang hayatnya.
Hakikatnya, hidup ini sememangnya penuh dengan cabaran dan dugaan. Setiap individu di antara kita mempunyai jalan cerita masing-masing yang tersendiri, segalanya terpulang kepada diri kita sendiri bagaimana untuk menempuh rintangan dan cabaran tersebut. Jangan mudah menyerah kepada cabaran mendatang, pastinya ia adalah sukar, susah dan penuh dengan kesakitan, namun segalanya hanyalah sementara. Hanya ketabahan dan kegigihan sahaja mampu menjadi pemacu utama ke arah kejayaan. Lance Amstrong seorang jaguh lumba basikal dunia, beliau sebenarnya disahkan mengidap Kanser Testis, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berlumba. Bayangkan mengayuh basikal dengan Kanser Testis! Beliau pernah mengatakan, "Kesakitan itu hanyalah sementara.." Cara mudah untuk menghadapi segala cabaran mendatang, adalah menjadi proaktif dalam pemikiran dan perbuatan.

Kita selalu menyangka dugaan hidup kita amatlah teruk, namun tanpa kita sedari diluar sana masih lagi ada mereka yang lebih bersusah payah. Namun mereka mampu untuk terus berdiri malah melakar kejayaan yang amat bermakna dalam hidup. Segalanya terpulang kepada kehendak dan ketabahan seseorang itu. Justeru, jangan mudah mengalah walau apa jua datang menghalang, tabahkan hati dan tekadkan azam untuk terus cemerlang. Hidup anda adalah ketentuan anda sendiri.

Hustle up and be GREAT!

Best Regards,
MOHD IKHWAN B MOHD JAMIL
10.36 PM
09-JAN-2011